
ULU DENGAR - Mendapat sambutan yang menggalakkan di Felda Jengka, Pahang, Program FIELD GIG diteruskan jelajah ke negeri Johor. Seramai 5 orang wakil Kontrak Borong Kecil (KBK) telah menyertai program Taklimat FIELD GIG dan Pendaftaran Aplikasi Hyred. Usaha ini juga disertai oleh 7 orang pegawai yang diwakili oleh empat kawasan. Antaranya ialah di wilayah Segamat, Nitar, Lenga dan Ulu Dengar. Pegawai-pegawai ini juga diberikan taklimat tentang bagaimana cara mengiklankan pekerjaan kepada KBK yang terlibat.
Program ini diadakan pada 8 September 2022 bertempat di bilik mesyuarat JKKR FELDA Ulu Dengar. Seramai 17,551 orang peneroka di negeri Johor yang menjalankan kerja-kerja perladangan. Ini adalah jumlah peneroka terbanyak berbanding negeri lain di Malaysia. Oleh itu, FELDA bekerjasama dengan Get Hyred untuk memberi satu inisiatif yang mudah dalam menjalankan kerja-kerja perladangan. Seperti mana sedia maklum, matlamat program ini adalah untuk memberi peluang kepada belia dan anak muda di FELDA terutamanya bergiat aktif dalam kerja-kerja perladangan. Di samping untuk mendapatkan insentif atau pendapatan sampingan, masalah kekurangan tenaga kerja untuk kerja-kerja perladangan juga dapat diselesaikan tanpa bergantung harap kepada buruh asing.
Seperti biasa, kerjasama dengan pihak Get Hyred Malaysia telah memudahkan urusan majikan dan pekerja KBK dalam menjalankan kerja-kerja mereka. Dengan hanya mendaftar akaun Hyred secara PERCUMA, mereka lebih mudah untuk menerima kerja sambilan yang diiklankan oleh majikan melalui notifikasi aplikasi tersebut. Sasaran FELDA melibatkan diri dalam pendaftaran aplikasi ini adalah untuk mengikuti perkembangan semasa yang membenarkan teknologi memudahkan kerja semua pihak. Setelah selesai mendaftar akaun masing-masing, mereka boleh terus memulakan pekerjaan mereka melalui aplikasi tersebut. Segala pembayaran mereka adalah melalui terus ke akaun bank masing-masing.
Persoalan yang selalu diterima adalah adakah perlindungan diberikan kepada mereka yang menjalankan kerja-kerja ini. Berita baik untuk mereka kerana kerajaan telah menyediakan insentif iaitu SIP GIG.
SIP Gig memberikan insentif kewangan kepada individu yang menganggur atau tidak bekerja untuk melaksanakan pekerjaan secara jangka masa pendek. Insentif ini memberi fokus kepada individu yang diberikan notis cuti tanpa gaji, diberhentikan kerja, penganggur lebih daripada 60 hari, pencari kerja daripada golongan terjejas dan suri rumah yang tidak bekerja lebih daripada enam (6) bulan yang terlibat dalam pekerjaan yang tidak terikat dengan waktu bekerja menggunakan Platform Digital berdaftar di bawah PERKESO.
PERKESO, 2022
Oleh itu, pemohon tidak perlu bimbang sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian yang tidak diingini. Insentif ini dapat mengurankan bebanan yang ada seterusnya dapat terus menyumbang kepada produktiviti FELDA. Sekiranya sebilangan yang besar ini dapat turut serta dalam program ini, pastinya dapat memberi galakan kepada golongan belia yang lain juga untuk turut serta dan mendapatkan pengalaman bekerja yang lebih bernilai daripada wang ringgit.
