COACH DENNY UBAH PERSEPSI TAKUT ANAK MUDA
Team Hyred bersama salah seorang ZASSERS Coach Denny di Pejabat Hyred Sdn Bhd

DAMANSARA - Aktiviti papan selaju atau skateboarding bukan sahaja menjadi sebuah hobi dalam kalangan generasi muda, sekarang sudah diangkat sebagai temasya dunia. Begitulah yang sering disebut dalam mana-mana rencana atau akhbar tentang aktiviti papan selaju ini. Denny Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Denny adalah salah seorang yang memperjuangkan dan mengangkat bidang ini sebagai satu sukan ekstrem yang dapat mencungkil bakat kebanyakan belia dan anak muda masa kini. Denny telah membuka mata dunia dan membuktikan bahawa sukan papan selaju ini mampu mengubah persepsi umum terhadap sukan itu daripada terus dilihat sebagai aktiviti yang tidak berfaedah kepada satu sukan ekstrem yang berpotensi besar dalam mengharumkan nama negara.

Sesi temubual bersama Coach Denny

Denny berkunjung ke Pejabat Get Hyred Malaysia untuk berkongsi pengalaman dalam sukan papan selaju. Tujuan Denny berada di Kuala Lumpur adalah bagi menghadiri acara skateboarders dibawah umur 12 tahun yang dianjurkan oleh Vans Malaysia dan JR Skate Schools. Acara ini adalah salah satu inisiatif terbaik untuk menggalakkan lagi anak muda untuk sertai sukan papan selaju daripada peringkat awal lagi. Menurut Denny, pembentukan keyakinan diri sangat penting untuk menggalakkan mereka. Ini adalah kerana segelintir mereka masih ada perasaan takut untuk bermain sukan ini. Sukan ekstrem ini boleh menyebabkan mereka akan mengalami kecederaan sekiranya tidak berhati-hati.

Sebagai seorang guru dan jurulatih papan selaju, Denny akan memberi taklimat ringkas tentang langkah-langkah keselamatan sebelum memulakan kelas. Ini adalah untuk mengelakkan kemalangan semasa latihan. Langkah-langkah keselamatan ini perlu dibuat untuk melindungi tubuh badan pengguna. Selain itu, ada juga persepsi ibu bapa terhadap sukan ekstrem ini membahayakan keselamatan dan tidak berfaedah. Bagi Denny, papan selaju ini dianggap sama sahaja dengan sukan ekstrim yang lain. Cuma kaedah sahaja yang berbeza. Sukan ekstrem ini dianggap sebagai motivasi bagi mereka yang mempunyai ketakutan. Sekiranya mereka mahir, mereka dapat mengatasi ketakutan tersebut. Kini ramai anak muda yang telah bergiat aktif dalam sukan ekstrem ini. Denny berharap agar sukan ini dapat diteruskan dan diperkembangkan ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Leave a Reply